Thursday, 30 June 2011
SAJAK AMINAH QUTB
Sekiranya,
kita cinta kepada manusia,
tak semestinya manusia cinta kepada kita,
Tetapi sekiranya,
kita cinta Allah tiada penghujungnya,
Sekiranya,
kita cinta kepada manusia,
kita akan cemburu kepada orang yang mencintai orang kita cintai,
Tetapi sekiranya,
kita cinta kepada Allah,
kita akan turut mencintai orang yang melabuhkan cintanya kepada Allah juga,
Ya Allah,
Andainya dia adalah jodoh yang ditetapkan oleh Mu kepada ku,
Maka,
Campakkanlah kedalam hatiku,
cinta kepadanya adalah kerana Mu,
dan campakkanlah ke dalam hatinya,
cinta kepadaku adalah kerana Mu,
Namun,
andainya dia bukan jodoh yang ditetapkan oleh Mu kepada ku,
berilah aku kekuatan agar pasrah dalam mengharungi ujian,
yang Kau berikan kepada ku....
Tuesday, 28 June 2011
Buat insan yang diuji..termasuk diriku..
Ya Allah, dunia yang Engkau hamparkan ini indah, tetapi durinya sering menusuk. Nikmat yang Kau berikan takkan dapat untukku menghitungnya. Tetapi ya Allah, hambaMu ini sering alpa dan lena dek buaian mimpi yang tak sudah. Ya Allah, ujian yang Engkau berikan terasa begitu memeritkan, kadangkala ianya menguji kesabaran dan keimananku yang terkadang nipis, senipis kulit bawang. Ya Allah, jika ini ujian yang pantas untukku lalui, bantulah aku. Agar aku tidak tersasar dari jalanMu. Agar aku bisa bersyukur dengan ujianMu ini ya Allah.
Buat insan yang diuji, bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama-sama kamu. Percayalah, Allah mendengar segala tangisan dan kesedihanmu itu. Ingatlah ujian Allah ini bukan satu penyiksaan, tetapi hakikatnya engkaulah insan yang terpilih. Engkaulah insan yang layak menerima rahmat dan keredhaanNya, sekiranya engkau sabar dan redha. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 214:
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).
Terimalah takdir yang telah ditetapkan Allah untukmu wahai insan. Terimalah dengan hati yang terbuka, berlapang dadalah kamu dengan segala ketentuanNya. Kerana pasti akan ada kemanisan disebalik kepahitan yang engkau rasai.Wahai insan yang diuji, jangan sekali engkau merasa keseorangan. Sungguh, Allah sentiasa bersamamu. Setiap derita yang engkau lalui itu sering diiringi rahmat ujianNya, maka bersabarlah dan tabahlah. Firman Allah dalam surah Al-Furqan, ayat 20:
Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya).
Untuk insan yang diuji, sedang ramai teman-temanmu yang lalai diuji dengan kesenangan dan kekayaan mereka, tetapi engkau diuji dengan derita dan kesengsaraan. Sedarkah engkau wahai insan terpilih, engkaulah yang bertuah dan beruntung, kerana ujian yang diberikanNya membuatkan Engkau semakin dekat denganNya.Tidakkah engkau melihatnya? Tidakkah engkau menyedarinya? Bersyukurlah, bersyukurlah, bersyukurlah wahai insan yang dikasihi Allah.
P/s : copy je hehe,,,sharing is caring right :)
Tuesday, 21 June 2011
Malam Pengantin Yang Dahsyat! Bersediakah Anda?
Untuk semua...
Pada suatu masa yang ditetapkan
Kita pasti dirisik
Pertunangan sejak azali
Di hujung hidup nanti
Berlangsungnya perkahwinan dengan maut
Hantarannya...sakit dan nazak
Tamu bertandang menghadiahkan esak tangis
Pengantin dimandikan...
Dipakaikan baju cantik putih bersih
Wangian gaharu dan cendana
Keranda jadi pelamin
Pengantin bersanding sendirian
Diarak keliling kampung
Berkompang azan dan kalimah kudus
Akad nikahnya bacaan talkin
Berwalikan liang lahad
Saksi pula batu-batu nisan
Siraman air mawar
Keluarga terdekat menepung tawar
Tiba masa pengantin
Menunggu sendirian
Malam pertama bersama kekasih
Di kamar bertilamkan tanah
Dan DIA menuntut janji
Sucikah kita tatkala berpadu
Pernahkah taubat sepanjang hayat
Atau terkubur bersama dosa-dosa
Dan Dia kekasih itu
Menetapkanmu ke syurga
Atau melemparkan dirimu ke neraka....
Kelebihan Isteri Kurang Cantik
Isteri anda kurang cantik? Atau dalam bahasa kurang ajar, HODOH? Jangan risau kerana sesungguhnya isteri cantik bukan jaminan keluarga bahagia. Kebahagiaan tak pernah ditentukan oleh kecantikan. Malah, ada juga suami yang terpaksa menceraikan isterinya kerana terlalu cantik.
Lihat sajalah artis-artis wanita di Malaysia yang cantik dan cun melecun, tapi bercerai juga. Dari segi wajah, penampilan, karier, wang. Apa lagi yang kurang dari artis-artis tersebut? Mungkin kurang didikan agama je. Heheh..
Inilah beberapa kelebihan mempunyai isteri yang kurang cantik:
KOS RENDAH
Dia tidak demand ke salon-salon mahal. Treatment muka dan macam-macam lagi jarang dilakukan. Bersolek sekadar seadanya. Pakai bedak yang biasa-biasa saja. Kos fitness, diet menguruskan badan, sedut lemak, menghilangkan selulit, buat rambut, pakaian branded, dan macam-macam lagi. Mahal tu!
LEBIH SELAMAT
Risiko wanita kurang cantik untuk curang lebih kecil. Kalau jalan-jalan shopping ke mall atau plaza, tidak akan ada yang “pewit”. Tidak ada yang kenyit-kenyit mata, minta nombor henpon, e-mail, facebook, dan sebagainya. Err.. Blog?
RAJIN BEKERJA
Wanita cantik risau kulitnya hitam terbakar, terkena cahaya matahari, tangannya tebal, dan sebagainya. Orang cantik risau kalau mop lantai, apalagi kalau membersihkan halaman rumah. Malah enggan mencuci pakaiannya sendiri, semua hantar ke kedai dobi. Isteri yang kurang cantik pula tidak segan-segan bekerja keras. Semua kerja rumah, housekeeping, biasanya diuruskan dengan baik. Tapi memang malang kalau ada isteri yang dah la tak berapa nak cantik, malas kerja, tapi suka melawan pulak. Haish!
LEBIH TAAT
Bukan aku mengatakan semua tapi kebanyakan isteri yang cantik, kaya, terkenal, terang-terangan menolak status suami sebagai “ketua keluarga”. Queen control! Mereka rasa mereka hebat dan tidak layak dipimpin. Bajet bagus! Upss..
RUMAH TANGGA KEKAL
Isteri yang kurang cantik selalunya sangat berkomitmen menjaga keutuhan keluarga sehingga maut memisahkan. Tak ada fikiran untuk berpisah. Cuba kita lihat artis cantik yang senang bercerai kerana mereka tidak perlu risau sebab berderet kumbang kaya yang menunggu di luar sekiranya talak dijatuhkan.
Walau apa jua, suami pun penting juga. Jangan ada hati nak melihat isteri cantik, menarik dan sedap mata memandang tapi penampilan sendiri kurang dijaga terutama perut yang buncit macam orang mengandung tapi tak beranak-beranak. Heheh.. Serabai dan sebagainya. Lepas tu ada juga yang menceraikan isteri yang tak berapa nak cantik kerana tergoda dengan wanita yang lebih muda.
Isteri yang tak berapa nak cantik pun jangan lupa sentiasa menjaga penampilan diri supaya dari isteri yang kurang cantik berubah kepada isteri yang cantik. Biar cantik di mata suami dah la.
Monday, 13 June 2011
Memang Allah Sengaja!!!
* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat menjadi penilai yg baik.
* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita sedar bahawa kita hanyalah makhluk yg sentiasa mengharapkan pertolongan ALLAH.
* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat KASIH SAYANG YANG TERBAIK,KHAS UNTUK DIRI KITA.
* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita sedar bahawa ALLAH MAHA PEMURAH & PENYAYANG kerana mengingatkan kita bahawa dia bukanlah pilihan yg hebat untuk kita dan kehidupan kita pada masa depan...
* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat mengutip pengalaman yg tak semua orang berpeluang untuk mengalaminya.
* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita jadi MANUSIA YG HEBAT JIWANYA.
* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita lebih faham bahawa CINTA YG TERBAIK HANYA ADA BERSAMA ALLAH.
* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita LEBIH MENGENALI KEHIDUPAN YG TAK SELAMANYA KEKAL. Wahai sahabat yg kecewa, menderita dan sengsara kerana cinta, fahamilah bahawa kehidupan kita makin sampai ke penghujungnya. Hari esokpun kita sendiri tak pasti samada menjadi milik kita. Gapailah keredhaan ALLAH dengan melaksanakan suruhan-NYA,dan meninggalkan laranganNYA.. PERCAYALAH sesungguhnya ALLAH malu untuk menolak permintaan hamba-NYA yg menadah tangan meminta dengan penuh pengharapan HANYA kepada-NYA
Sunday, 12 June 2011
Mengapa Allah tak mengabulkan Doa Kita???
SELALUNYA ALLAH akan mengabulkan setiap doa melalui saluran yang diizinkan syarak. Tetapi jika pemberian itu tidak sampai ke tangan kita atau kita tidak menerimanya, maka itu bukanlah salah ALLAH. Mungkin ada kesilapan dan kesalahan yang kita lakukan. Di antara kemungkinan itu ialah:
-Ada kalanya kita sudah terlalu jauh dengan ALLAH.
-Ada dinding yang membataskan kita dengan ALLAH seperti dosa yang sudah bertimbun-timbun sehingga ALLAH berasa tidak patut lagi kita menerima pemberian-Nya yang bernilai tinggi dan suci itu.
-Kita selalu berdoa tetapi perbuatan maksiat tidak kita tinggalkan dan kita suka mengambil sesuatu melalui jalan yang haram.
-Boleh jadi kerana salah kita melanggar syaratnya atau kerana salah satu sebab yang kita tahu atau sedar.
Ibrahim Adham, seorang ahli sufi yang sangat masyhur pernah ditanya oleh orang ramai ketika beliau berada di tengah pasar Basrah, mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah pada hal kami selalu berdoa.
Ibrahim Adham menjawab: "Kerana hati kamu buta (mati) disebabkan sepuluh perkara, iaitu":
-Kamu mengenal Allah tetapi kamu tidak menunaikan hak-Nya.
-Kamu sangka kamu cintakan Rasulullah tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.
-Kamu membaca al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya.
-Kamu makan nikmat Allah tetapi kamu tidak bersyukur kepada-Nya.
-Kamu mengaku syaitan itu musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya.
-Kamu mengaku syurga itu benar tetapi kamu tidak beramal untuknya.
-Kamu mengaku neraka itu benar tetapi kamu tidak lari daripadanya.
-Kamu mengaku mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia untuknya.
-Kamu bangun dari tidur lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia tetapi kamu lupakan keaiban kamu sendiri.
-Kamu kebumikan mayat saudara-saudara kamu tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.
Daripada sepuluh sebab yang membutakan hati itu tersimpul satu sifat bahawa kebanyakan kita tidak menjunjung tugas sebagai hamba yang sebenar bagi Allah. Sebab itu wajar sekali kita tidak mendapat keistimewaan yang melimpah ruah - setiap panggilan tak mungkin disahut dan setiap permintaan tak mungkin dikabulkan Allah.
Bey Ariffin dalam bukunya Samudra Al-Fatihah antara lain mengatakan; doa seseorang itu tidak akan dimakbulkan Allah walaupun ia merendah diri serendah-rendahnya (khusyu' dan tawadhu') sewaktu berdoa, serta memuliakan Allah dengan semulia-mulianya, tetapi apabila sebelum berdoa atau sesudahnya dia mengerjakan pekerjaan yang sangat dilarang dan dimurkai Allah.
Di sinilah letaknya rahsia mengapa Allah tidak mengabulkan doa sebahagian besar dari manusia yang berdoa dan di sinilah pula letaknya kenapa Allah selalu mengabulkan doa Rasul dan nabi, para sahabat dan tabi'iin, para wali dan orang soleh lainnya.
Untuk membolehkan doa itu dimakbulkan Allah s.w.t maka ia hendaklah dilakukan dengan sebaik-baiknya dan dengan memelihara adab- adab berdoa.
Di antara adab-adab berdoa ialah:
-Doa hendaklah dilakukan dalam waktu yang baik dan mulia seperti pada hari Arafah, ketika Ramadhan, Jumaat, sepertiga yang akhir dari malam dan pada waktu sahur.
-Berdoa dalam keadaan yang mulia seperti ketika sujud dalam sembahyang, ketika berhadapan dengan musuh dalam pertempuran, ketika hujan turun, sebelum menunaikan sembahyang dan sesudahnya, ketika jiwa sedang tenang dan bersih daripada gangguan syaitan dan ketika menghadap Kaabah.
-Berdoa dengan menghadap kiblat.
-Berdoa dengan merendahkan suara antara terdengar dan tidak oleh orang yang berada di sisi kita.
-Berdoa dengan tidak menggunakan kata-kata yang bersajak. Memadai dengan kata-kata biasa dan sederhana, sopan dan tepat dengan apa yang dihajati dan tidak perlu dilagukan dan amat baik dipilih lafaz-lafaz doa Rasulullah s.a.w yang bersesuaian.
-Berdoa dalam keadaan khusyu' dan tawadhu' dengan merasakan kebesaran dan kehebatan Allah dalam jiwa.
-Mengukuhkan kepercayaan bahawa doa itu akan dimakbulkan Allah dan tidak sedikitpun berasa gelisah jika tidak diperkenankan Allah s.w.t.
-Mengulangkan doa yang diutamakan dua hingga tiga kali.
-Memuji Allah di permulaan dan pengakhiran doa.
-Bertaubat sebelum berdoa dan menghadapkan diri dengan sesungguhnya kepada Allah s.w.t.
~Sesungguhnya Hidupku, Matiku, Amalanku, Ibadahku adalah semata-mata kerana Allah SWT~
Saturday, 4 June 2011
bidadari mencemburui kesolehanmu wahai muslimah..
"Seorang manusia bergelar nabi, manusia lelaki pertama dicipta Allah, pernah menghuninya. Dia dimuliakan oleh semua makhluk termasuk malaikat, atas perintah Allah. Dia bebas menelurusi setiap ceruk menikmati keindahan yang tidak terperi. Namun ditengah keindahan syurga, jauh di sudut hatinya masih ada suatu kekosongan. Mengapa? Kerana tiada wanita menemaninya dalam menikmati keindahan syurga! Maka diciptakannya wanita sebagai pelengkap kepada nikmat syurgawi.
Syurga masih terasa kurang lengkap tanpa wanita. Bidadari yang cantik jelita juga adalah wanita. Kalau begitu, boleh meriahkah dunia ini tanpa wanita? Setiap akal dan hati tahu jawapannya. Ya……tanpa wanita, sunyi sepilah dunia. Tidak banggakah kita menjadi wanita? Persoalannya, cukupkah sekadar dilahirkan sebagai wanita, kita boleh berbangga menyandang keistimewaan ini?
Perhiasan adalah suatu yang menambah seri suasana, menyejukkan hati dan mata. Seperti mana sejuknya hati dan mata apabila melihat bunga, demikianlah hati apabila melihat perhiasan. Tapi, kenapa tidak semua wanita menyejukkan hati sedangkan ia diciptakan sebagai pelengkap kepada perhiasan dunia dan akhirat? Malah, ada wanita yang menjadi punca kemelut dan kacau bilau. Garis pemisahnya ialah sekeping hati yang ia miliki.
Apabila hati diserahkan kepada Allah, kekallah wanita dengan asal penciptaannya iaitu penyejuk mata dan hati.Apabila wanita terus mengikatkan hati kepada zat yang menjadikannya, kekallah ia sebagai perhiasan yang dijaga rapi. Redup wajahnya mengundang pembelaan dari hati yang menjadi hamba Tuhan dan kerendahan hati yang tunduk kepada syariat meletakkan ia sentiasa dalam keredhaan dan perlindungan dari Zat Yang Maha Agung. Inilah wanita sejati bergelar wanita solehah seperti yang digambarkan oleh Rasullullah:
" Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah."
Di dunia lagi bidadari mencemburui kesolehannya dan di akhirat bidadari sudi menjadi khadamnya.
Sebaliknya, jika hati dibawa jauh dari Allah, hilanglah kejernihan wajah dan jadilah dia duri yang menjadi punca kemelut serta kacau bilau. Apabila wanita lari dari ikatan Tuhan, maka terbukalah segala pintu yang akan menjerumuskannya ke lembah fitnah kehinaan. Hilanglah redup wajah yang menjadi dambaan dan yang terserlah ialah kecantikan palsu yang menanti untuk dieksploitasi oleh manusia buas yang menjadi hamba nafsu.
Ibarat bunga sejati dan bunga plastik. Jika bunga plastik disembur pewangi, harumnya lebih kuat daripada haruman bunga sejati…tapi haruman itu tidak kekal. Haruman bunga plastik bukan miliknya yang sebenar, ia haruman palsu yang bersifat luaran. Berbeza dengan keharuman bunga sejati yang bersifat dalaman dan kekal. Keharuman bunga sejati tetap kekal dimana saja ia diletakkan, di jambangan ataupun sekadar tumbuh di pingggir belantara. Sebaliknya bunga plastik tetap kaku, haruman palsunya akan semakin hilang walaupun tersusun indah di jambangan emas.
Wanita solehah yang hatinya terikat dengan Allah-si gadis dihiasi sifat sopan dan malu; si anak mentaati ibu bapa; srikandi dihiasi keberanian dan ketegasan yang penuh kesopanan serta prihatin terhadap suasana masyarakat; si isteri penuh ketaatan, kesetiaan dan kasih terhadap suami. Semuanya berteraskan rasa cinta kepada Yang Maha Pencipta. Berbahagialah kaum Adam yang berjaya memiliki `perhiasan' sejati ini kerana pastinya hidup akan terarah ke syurga. Syurga dunia yang disegerakan dan syurga hakiki yang kekal abadi.
Seorang wanita yang hatinya jauh dari Tuhan masih mampu menjadi perhiasan dunia yang digilai oleh segenap lelaki. Kecantikan dan lentoknya menjadikan hati lelaki tunduk semahu-mahunya sehingga sangggup berkorban segala-galanya-suatu perhambaan yang tersirat. Terpenjaralah hati kaum Adam yang memilih perhiasan`palsu' ini. Hati menjadi sempit dan di akhirat terseksa tanpa batas!
Wanita boleh memilih untuk menjadi `bunga sejati'. Wanita solehah yang membawa tenang. Wanita juga boleh memilih untuk menjadi `bunga plastik'. Wanita yang mengundang kemelut, kacau bilau dan kehancuran. Kita sentiasa ada pilihan… maka pilihlah. Kita hanya akan layak menjadi `bunga sejati' jika hati tunduk kepada Tuhan. Bagaimanapun, Tuhan tidak pernah memaksa. Dia tetap agung walaupun kita sebagai hamba terus derhaka…Maha suci Allah yang telah memuliakan kita sebagai wanita. Daripadanya kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali.
Monday, 30 May 2011
Air Mata Subuh...
"Assalamualaikum."Seru subuh
"Wa'alaikumsalam."Sahutku dan kami terus berpelukan mengubat rindu serta kasih sayang. Ku tanya khabar subuh mengenai musafirnya dari suatu tempat ke suatu tempat.
"Tadi ... "Kata subuh dengan sayu. "Aku baru sahaja melintasi suatu tempat, ku cari tempat singgah. Ku ketuk rumah2 yg sunyi tetapi tiada satu pun yg mahu menerimaku sebagai tamu. "Air mata subuh mula berlinangan. Ku dakap subuh erat. "Subuh, usah pedulikan mereka. Bukankah aku menyambutmu dengan penuh kegembiraan?" Subuh mengukir senyuman walaupun serinya tiada.
Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat sesuatu. "Oh ya....tadi juga, aku lalu di tempat yg tanahnya disebalik sungai, orang2nya sepertimu. Mereka menjamuku dengan pelbagai hidangan yg lazat. Hidangan yg paling ku sukai ialah buah tahajud. Puas ku cari, tapi nikmat buah seperti itu jarang ku temui. Justeru aku meratahnya dengan puas dan leka." Subuh merenungku bagai meminta sesuatu.
"Maaf Subuh. Aku tidak menanam pohon al-Lail, jadi aku tidak dapat menjamumu dengan buah yg kau sukai. Tapi aku punyai roti Siyyam. "maklumku pada subuh.
"Roti itu sudah ada tuan punya" Kata subuh.
"Kau mahu manisan zikir?" rayuku pada subuh.
"Baiklah,ambilkan aku sedikit serta bawakan padaku segelas air taubat." Pinta subuh.
Aku agak sugul. Bagaimanakah harus ku maklumkan kepada subuh yg air mata tangisan sudah hampir kering akibat kemarau maksiat yg berpanjangan? Namun, aku tetap menjenguk ke perigi yg menyimpan air mata itu. Aku terkejut kerana perigi itu telah hampir separuh penuh. Dan hatiku berdetik, adakah ini tandanya kemarau akan berakhir? Tanpa berlengah, ku bawa air itu kepada subuh, tetamu yg ku sanjung dan ku suakan manisan yg dipinta. Selesai menjamah, subuh melirik senyum...
Dakapan kasih mengiringi subuh. Tanpa ku sedar air mata taubat menitis membasahi pipi. Hatiku menyeru, datang lagi subuh, akan ku jamu sahabat sejati dengan buah tahajud pada ziarahmu nanti... ..
Friday, 13 May 2011
Kisah lima perkara aneh....
Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah s.w.t. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
Kedua semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.
Ketiga jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.
Keempat jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
Kelima bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."
Maka berkata Allah s.w.t., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.